Followers


ShoutMix chat widget

Sunday, January 16, 2011

Suami Matang Tonggak rumah tangga bahagia


SEDANGKAN lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’ adalah bidalan Melayu yang membawa pengertian dalam mengharungi hidup berumah tangga, khususnya dalam hubungan antara suami dan isteri, perselisihan adalah satu kemestian.

Perselisihan adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan.

Namun, ia boleh diperbaiki, dengan menggunakan cara yang bijaksana dan bertoleransi.

Banyak sebab yang menjadi punca perselisihan. Antaranya kerana mentua, jiran, teman-teman, anak-anak, lauk yang terlupa dimasukkan garam, atau air kopi yang terlupa ditambah gula.

Paling meruncing ialah apabila masing-masing mula cemburu terhadap satu sama lain, sama ada mereka mempunyai bukti nyata atau hanya berupa prasangka. Selain itu, soal kewangan juga boleh menjadi penyebab mencetuskan perselisihan.

Perkara inilah yang harus diperhatikan oleh setiap teruna dan dara yang bertekad mahu mendirikan rumah tangga. Ia juga perlu menjadi renungan pasangan suami dan isteri yang menerajui bahtera hidup berumah tangga.

Sesungguhnya, perkahwinan adalah satu cabaran yang harus dihadapi oleh setiap kaum lelaki. Dalam perkahwinan, suami akan berkongsi hidup dengan isteri yang bersifat pelembut, mudah tersinggung, berlainan cara berfikir dan pandangan terhadap hidup serta mempunyai hak yang tidak boleh diperkecil dan diabaikan.

Mendirikan sebuah rumah tangga memerlukan kematangan dan kedewasaan fikiran dan perasaan. Kematangan bererti kemampuan seseorang menahan marah dalam suasana krisis dan perselisihan serta dapat menyelesaikan masalah tanpa menggunakan kekerasan dan menjauhi segala cara yang boleh membawa kepada keruntuhan perkahwinan itu.

Sebagai bukti kepada kematangannya, seseorang itu sanggup mengaku salah apabila benar-benar bersalah dan tidak cuba menyalahkan orang lain apabila berpeluang berbuat demikian.

Bagi Islam, rumah tangga perlu ditegakkan atas asas cinta dan kasih sayang. Keadaan ini jelas dari firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara keterangannya juga, bahawa ia menjadikan isteri bagimu yang sebangsa dengan kamu, supaya kamu boleh diam bersama-sama dengan dia, serta berkasih sayang dan cinta menyintai.” (Surah Ar Rum, ayat 21).

Rasa cinta sebegini, boleh membawa suami sentiasa bersikap matang dan sihat dalam segala layanannya terhadap isteri dan di kala menghadapi krisis rumah tangga yang tidak dapat dielakkan.

Suasana rumah tangga akan menjadi lebih mesra dan ceria apabila suami mengenali diri isterinya sebagai manusia yang mudah tersinggung dan mudah terasa. Suami jangan sekali-kali cuai dan lupa memberi penghargaan kepada peranan isteri sebagai suri rumah tangga yang benar-benar bertanggungjawab.

Sebenarnya, tidak susah bagi suami membisikkan kata-kata pujian ke telinga isterinya setiap kali menikmati masakan atau melihatnya berpakaian baru. Berilah hadiah, walaupun kecil, sebagai tanda penghargaan suami terhadap isteri apabila menyambut hari jadinya.

Termasuk dalam penghargaan juga ialah memberi sangkaan baik terhadap tingkah laku isteri, tidak memperlihatkan apa-apa kecurigaan terhadap kejujuran dan keikhlasan isteri, tidak cuba mengintip gerak gerinya kerana didorong rasa cemburu yang melulu.

Isteri juga akan berasa dirinya dihargai apabila suami secara terang-terangan memperlihatkan kebahagiaan dan kegembiraan mengharungi alam rumah tangga bersamanya. Dia berasa lebih dihargai jika suami sering meminta buah fikirannya dalam perkara yang menyentuh kehidupan mereka.

Namun, semua ini bukan bermaksud suami perlu menyembunyikan kemarahan apabila mendapati isteri melakukan sesuatu yang salah. Suami hendaklah menegur dan menasihati secara tegas dan bijaksana serta sentiasa menunjukkan kesediaan untuk memaafkan dan melupakannya.

Rasulullah saw meletakkan kriteria untuk mengukur manusia yang terbaik dan berjaya dalam kehidupan rumah tangga melalui sabda Baginda yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling baik kepada keluarganya (isterinya), dan di kalangan kamu, akulah yang paling baik kepada keluargaku (isteri-isteriku.” (Hadis Riwayat Tabrani dan Tirmizi).

Sesungguhnya, rumah tangga yang bahagia dapat diwujudkan hasil kerja keras, saling mengerti, tolong menolong dan persefahaman antara suami dan isteri. Dalam bahtera sebuah rumah tangga, suami berperanan sebagai nakhoda kapal yang bertanggungjawab mengendali dan menjaga keselamatan seisi anak kapal. Isteri pula berperanan sebagai jurumudi yang mengawal haluan bahtera. Paduan erat antara keduanya mampu menyelamatkan bahtera dan seluruh isinya daripada tenggelam dilanda badai dan gelora. Insyaallah.


No comments:

Post a Comment