Followers


ShoutMix chat widget

Saturday, January 22, 2011

Dekatkan anak dengan ilmu akidah


Sebagai ibu bapa moden masa kini, pastinya anda bijak dan tahu tentang peranan asas ibu bapa, namun pendidikan akidah perlu dilakukan dengan pendekatan yang tidak formal bagi memastikan anak-anak dapat menghayati sepenuh jiwa raga tanpa paksaan atau takutkan kepada ibu bapa itu sendiri. Beberapa peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik akidah anak-anak, antaranya sebagai ikutan atau role model, sebagai pendidik, sebagai pendorong dan sebagai penyampai maklumat atau ilmu.


Ibu bapa sebagai role model
Ibu bapa merupakan role model yang paling berkesan untuk anak-anak. Segala apa yang mereka lakukan akan dilihat dan diikuti oleh anak-anak. Oleh itu, setiap ibu bapa hendaklah menunjukkan contoh yang terbaik dari segi akidah mereka terlebih dahulu. Ibu bapa yang tidak mementingkan persoalan ini boleh menjadikan anak-anak hilang pedoman. Merekalah yang akan menentukan arah mana yang akan menjadi ikutan anak-anak.


Pendidik tidak formal
Selain menjadi role model bagi membentuk akidah, ibu bapa juga bertindak sebagai pendidik secara tidak formal. Pendekatan secara nyata dan tersurat boleh digunakan dalam pendidikan akidah. Misalnya, memperkenalkan cerita-cerita para Rasul dan orang-orang soleh untuk kanak-kanak. Begitu juga dengan cara mendedahkan anak-anak kepada al-Quran atau tulisan jawi. Dengan ini pegangan agama dan akidah tersemat erat dalam diri kanak-kanak. Mereka boleh menghubungkan segala aspek kehidupan dengan pegangan akidah.


Pendorong anak-anak
Ibu bapa juga boleh bertindak sebagai pendorong kepada anak-anak. Mereka boleh menguatkan pegangan akidah dengan menyediakan segala kemudahan pembelajaran. Begitu juga mereka boleh menjawab persoalan yang dikemukakan oleh anak-anak dengan mewujudkan suasana mesra di dalam rumah. Ibu bapa juga merupakan penghalang utama kepada pengaruh negatif yang mungkin menyerang kanak-kanak daripada pelbagai sudut seperti bahan bacaan, hiburan dan keadaan sekeliling.

Di samping itu, ibu bapa bertindak sebagai penyampai maklumat atau ilmu. Ini kerana, ibu bapa merupakan orang pertama yang dikenali oleh kanak-kanak. Mereka hendaklah menyampai maklumat sepenuhnya tentang Islam terutama berkenaan akidah keimanan dan tatacara kehidupan seorang Muslim.

Jika mereka gagal menyampaikan ilmu, nasib anak-anak akan terbiar. Mereka menjadi jahil kerana sikap ibu bapa yang tidak mengambil peduli pada penyampaian ilmu. Ini penting kerana ilmu berkaitan akidah dan sebagainya dipindahkan menerusi cara perkhabaran, terutamanya pada peringkat kanak-kanak.

Pendidikan kolektif
Kanak-kanak juga perlu mendapat pendidikan secara kolektif di rumah. Antaranya solat berjemaah, membaca al-Quran, makan bersama, lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang ada hubungan dengan Islam, perbincangan atau sambutan hari kebesaran Islam. Salah satu amalan yang boleh dilakukan oleh pihak keluarga dan sekolah untuk kanak-kanak adalah solat jemaah. Setiap hari, pihak sekolah misalnya menyediakan suatu waktu supaya murid-murid dapat melaksanakan amalan solat secara jemaah dengan bapa sebagai imam. Dengan adanya amalan sedemikian, ia dapat menguatkan pegangan akidah kanak-kanak. Amalan solat kemudiannya akan menjadi sebati dalam diri mereka.

Membaca al-Quran
Selain itu, pihak ibu bapa dan sekolah juga perlu memperuntukkan masa untuk mengajar al-Quran kepada kanak-kanak. Di rumah, ibu ataupun bapa boleh mengajar anak-anak dengan al-Quran. Ia boleh dimulakan dengan mengajar buku Iqra’ atau lain-lain buku permulaan bagi membolehkan kanak-kanak mengenal dan kemudiannya dapat membaca al-Quran dengan lancar. Setelah itu, mempelajari al-Quran bukan hanya terhad kepada pembacaan semata-mata, tetapi perlu menjurus kepada pemahaman dan pengamalan kandungannya. Pendedahan awal kepada bahasa Arab memudahkan usaha memahami al-Quran. Dengan itu, pihak sekolah perlu berusaha supaya pendidikan bahasa Arab diperkenalkan kepada semua murid beragama Islam.

Makan bersama
Anak-anak juga perlu dididik dengan amalan makan bersama ahli-ahli keluarga. Di samping menikmati hidangan bersama, ibu bapa boleh menggunakan kesempatan memberi nasihat sambil berbual-bual. Antara perkara yang boleh dijelaskan adalah ilmu berkaitan halal haram sesuatu makanan dan minuman. Ibu bapa boleh menjelaskan sebab-sebab ia diharamkan. Dalam sejarah dakwah Rasulullah, baginda pernah menjemput kaum keluarga baginda bagi menyampaikan seruan Islam. Oleh itu, masa makan sepatutnya digunakan sebaik-baiknya untuk menanam ajaran Islam terutama akidah dan nilai-nilai murni.
  
Lawatan ke tempat bersejarah
Satu lagi aktiviti yang boleh dijalankan oleh ibu bapa ialah lawatan ke tempat bersejarah. Hal ini bertepatan dengan ajaran al-Quran yang menganjurkan umatnya mengembara ke merata tempat bagi mengambil pengajaran dan menambah pengalaman hidup. Anak-anak tidak sepatutnya dibiarkan terperap di dalam rumah sehingga membantutkan akal dan pemikiran mereka. Kata orang, banyak berjalan banyak pengalaman. 

Berbincanglah
Ibu bapa perlu memperuntukkan masa untuk berbincang dengan anak-anak dan berusaha mewujudkan suasana perbincangan dalam keluarga. Pendekatan sebegini akan memudahkan kanak-kanak meluahkan masalah yang mereka hadapi.

Sambutan hari besar
Meraikan sambutan hari-hari penting dalam kalendar Islam seperti Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban, permulaan puasa bulan Ramadan, tahun baru Hijrah, Maulidur Rasul dan sebagainya boleh mengeratkan hubungan anak-anak dengan Islam. Ia juga boleh membentuk jati diri anak-anak apabila kuatnya tautan mereka dengan ajaran agama.

1 comment:

  1. Classic VR game game design - Titanium Games
    Classic VR game design, released in 2016, includes. black titanium rings Classic VR titanium straightener game microtouch titanium trim walmart design. Design for the PlayStation VR titanium nipple jewelry - VR Game Design. titanium boiling point

    ReplyDelete