Followers


ShoutMix chat widget

Saturday, January 22, 2011

7 Sebab berlakunya 'baby blues'



Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan ini:

1. Perubahan hormon
Semasa hamil, terdapat beberapa perubahan dari segi paras hormon. Hormon-hormon ini berada pada paras tertentu untuk mengekalkan kehamilan. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, paras hormon tersebut akan turun secara mendadak. Penurunan paras hormon secara mendadak ini biasanya penyebab kepada ketidakstabilan emosi.


2. Pengalaman melahirkan
Kelahiran yang sukar dan mencabar juga menyumbang kepada perubahan emosi. Realiti yang meleset daripada jangkaan atau apa yang diharap-harapkan merupakan penyumbang terbesar kepada ketegangan perasaan ini. Misalnya, keinginan yang meluap-luap untuk mendapatkan anak lelaki tetapi melahirkan anak perempuan mungkin menyebabkan kekecewaan.

3. Keletihan
Proses bersalin memerlukan tenaga yang banyak dan amat meletihkan. Berbaring tanpa melakukan sebarang pekerjaan kadangkala menjemukan dan boleh menimbulkan tekanan.

4.Perubahan cara hidup
Sebaik sahaja mempunyai anak kecil, terutamanya anak sulung, cara hidup pasangan tersebut akan serta-merta berubah. Perasaan mempunyai anak kecil dan komitmen yang perlu diberikan kepadanya boleh membuatkan seseorang itu rasa terperangkap dan tidak bebas melakukan apa yang diingini.

5. Rasa tidak berkebolehan
Wanita moden berkerjaya sentiasa rasa berkebolehan dan cekap melakukan sesuatu pekerjaan. Apabila pertama kali mempunyai anak, perasaan tidak tahu apa yang hendak dilakukan dan perkara-perkara yang di luar kawalan boleh menimbulkan rasa tawar hati dan menyebabkan tekanan perasaan.

6. Pengasingan
Berpantang di dalam rumah kadangkala menimbulkan rasa keseorangan dan terasing, terutama apabila kunjungan rakan-rakan dan saudara-mara semakin berkurang. Tempoh dua bulan bercuti menimbulkan rasa jemu terutama bagi wanita bekerja yang mempunyai ramai kawan. Berbual bersama rakan, mesyuarat dengan pelanggan dan interaksi dengan pekerja lain menimbulkan rasa penting pada seseorang. Hal ini akan lenyap apabila berada di rumah.

7. Komplikasi pada bayi
Sekiranya bayi yang dilahirkan berhadapan dengan sebarang komplikasi, hal ini akan menimbulkan tekanan kepada si ibu.

No comments:

Post a Comment